Jom Cuti di Rembau

Jom Cuti di Rembau

by Faiza Ayob

Nama Rembau ini diambil daripada nama sejenis pokok yang bernama pokok Merbau. Ceritanya bermula apabila sekumpulan orang asli terjumpa sebatang pokok Merbau yang amat besar dan tinggi.  Sekumpulan orang asli ini diketuai oleh Batin Sekudai sewaktu hendak membuat penempatan baru di kaki Gunung Datuk. Oleh kerana pokok Merbau tersebut sangat besar dan tinggi, ia menimbulkan keresahan buat mereka yang ingin buat penempatan di sana kerana risau ia tumbang di masa akan datang lantas akan membahayakan keselamatan mereka. Setelah berbincang sesama mereka, akhirnya mereka sebulat suara membuat keputusan untuk menebang pokok Merbau tersebut. Maka mereka pun menebang pokok Merbau secara bergilir-gilir dengan menggunakan kapak dan beliung selama tujuh hari tujuh malam. Walaupun mereka bekerja keras untuk menebang pokok Merbau tersebut tetapi apa yang menghairankan mereka ialah pokok tersebut masih juga tidak mahu tumbang.

Setelah genap tujuh hari tujuh malam mereka berusaha untuk menumbangkan pokok Merbau, akhirnya mereka mengadukan perkara itu kepada seorang bomoh yang paling handal dalam kalangan mereka dan bomoh itu meminta mereka agar mendaki gunung Datuk sehingga sampai ke kemuncak untuk meminta izin dari penunggu gunung tersebut bagi menebang pokok Merbau tua itu. Akhirnya pokok itu tumbang pada keesokan harinya apabila hujan lebat menyirami tempat mereka pada malam itu. Mereka menjamu selera dan bersuka ria setelah berjaya menumbangkan pokok yang paling besar itu malah sebahagian dari mereka menyusuri batang pokok itu untuk mencari pucuknya. Tanpa disedari, mereka sampai di sebatang sungai dan akhirnya sungai itu dinamakan sebagai Sungai Ujung. Kawasan pangkal pokok itu pula dinamakan Kampung Merbau Tua. Untuk meringkaskan sebutan, ia disebut Kampung Merbau dan lama-kelamaan hanya disebut Rembau sahaja sehinggalah ke hari ini. Itulah dia kisah Rembau ditubuhkan sebagai sebuah daerah dalam Negeri Sembilan

Rembau adalah sebuah bandar atau daerah yang terletak di Negeri Sembilan, Malaysia. Tahukah anda, Daerah Rembau ini terletak kira-kira 25 km ke selatan dari ibu negeri, Seremban. Untuk ke Rembau, anda biasanya boleh melalui jalan lebuh raya dari Seremban ataupun Tampin. Ia lebih mudah dan pantas. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi lampu hijau untuk stesen komuter Rembau memulakan operasinya pada 29hb Ogos 2013 di mana tiga perkhidmatan dari Rawang-Rembau-Rawang disediakan pada sebelah pagi dan tiga pada waktu petang. Perjalaan hanya memakan masa satu jam sahaja dari Kuala Lumpur ke Rembau menaiki perkhidmatan KTM Komuter ini dengan tambang berpatutan

 

Bila sebut sahaja Rembau, sudah pasti anda akan teringatkan tentang lagu nyanyian daripada Waris dengan lagunya Rembau Most Wanted dan tidak dilupakan juga ahli politik di negara kita yang berasal dari Rembau iaitu Khairy Jamaludin.  Rembau merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang tersimpan banyak sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan dan juga tempat berkumpulnya orang-orang Minangkabau sewaktu berhijrah ke tanah melayu.

Replika Istana Raja Melewar @ Muzium Rembau

Replika Istana Raja Melewar telah dibuka kepada orang ramai semenjak September 2004. Replika yang bernilai 2.7 juta ini merupakan daya usaha Pejabat Daerah Rembau dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan dengan bantuan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tujuan pembinaan Replika ini adalah sebagai objek pelancongan bersejarah agar dapat mengingatkan kembali rekabentuk asal Istana Raja Melewar yang pernah diduduki di tapak asal ini. Pejabat Daerah Rembau telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan agar pengisian muzium diamanahkan kepada Lembaga Muzium Negeri dengan konsep dan objektif yang sesuai dengan latar belakang bangunan dan sejarah Rembau.

Hutan Lipur dan Rekreasi Gunung Datuk 

Gunung Datuk adalah puncak tertinggi di daerah ini dengan ketinggian melebihi 2,900 kaki dan di gunung ini juga letaknya tapak asal pokok Merbau yang mana nama daerah ini diperolehi. Pendaki gunung yang sampai di kemuncaknya boleh melihat pemandangan yang luas di bahagian barat dari gunung - gunung Sungai Ujong menyeberangi pinggir laut hingga ke Selat Melaka. Gunung ini juga kaya dengan lagenda, antaranya tapak kaki di puncaknya yang menyumbang kepada legenda pahlawan Melayu, Hang Tuah, yang dikatakan berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Tuan.

Rembau Crystal

Yayasan Negeri Sembilan telah menciptakan sebuah tempat unik di Daerah Rembau sebagai kompleks perkampungan kristal terbesar di Malaysia. Fasilitas ini dibuka pada 1 Disember, 2007. Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat pelatihan, pembuatan serta pameran. Struktur unik Galeri Rembau Crystal ini memuat ciri-ciri unik seni bangunan Melayu Minangkabau. Produk yang dibuat dan dijual disini dibuat dari kristal. Diantara produk yang dibuat termasuk lampu meja, barang perhiasan kristal, pinggan mangkuk, aksesori dan banyak lagi. Produk kristal disini dibuat mengikut piawaian antarabangsa. Perkampungan kristal ini juga menjadi pusat bagi remaja lokal untuk mempelajari cara-cara membuat kristal, selain membuka peluang untuk menjual hasil kerajinan tangan mereka. Hal ini turut menjadikan Rembau sebagai salah satu tujuan pelancong terkenal di Malaysia.

Kelip Kelip Sungai Timun

Waktu siang di sungai timun ini pasti hanya terdapat aktiviti para nelayan menangkap udang galah yang sememangnya sangat segar belaka.  Apabila suasana malam menjelma, keindahan kelip-kelip akan terpancar cahayanya di sekitar kawasan ini. Bagi anda yang inginkan pengalaman untuk melihat kelip-kelip, anda bolehlah datang ke sini. Apa yang menariknya, kelip-kelip di sini seakan akan sudah terbiasa dengan bunyi enjin bot serta kehadiran orang ramai. Tempat ini biasanya didatangi oleh pengunjung luar negara setiap minggu untuk melihat dengan lebih dekat tentang keindahan kelip-kelip ini. Selain itu, anda juga berpeluang melihat buaya dan bangau disini. Harga yang dikenakan adalah RM20 bagi setiap orang selama 1 jam untuk melihat keindahan kelip-kelip ini. Cahayanya akan malap apabila hari hujan.

 

 Idea Rancangan Hari Pertama

  1. Destinasi pertama, Rumah Salji Rembau. Rumah Salji Rembau ini berkonsepkan kawasan permainan kanak-kanak.
  2. Kemudian melawat ke Muzium Replika Astana Raja Melawar. Muzium ini adalah sebuah binaan dengan gaya tradisional Negeri Sembilan yang terletak di atas tapak asal Istana Raja Melawar. Di dalam muzium ini, pengunjung dapat melihat pelbagai info berkaitan dengan sistem perlantikan pembesar, adat perpatih, pameran contoh pelamin masyarakat Rembau dan sebagainya.Masa yang diperuntukkan untuk selesai melihat keseluruhan pameran adalah dalam sekitar 15 ke 20 minit.
  3. Kemudian ke merasai kenikmatan Daging salai masak lemak cili api sedap di Sabak Salai, di Kundur iaitu lokasi yang berhampiran dengan D'Bukit Homestay
  4. Check in di D'Bukit Homestay

Idea Rancangan Hari Kedua

  1. Selepas sarapan pagi di D'Bukit Homestay, pergi ke Taman Rekreasi Rembau yang terletak di Bandar Rembau. Apa yang menarik ialah dengan adanya sebuah jambatan gantung yang boleh digunakan untuk menyeberangi tasik. Selain daripada itu, terdapat taman permainan untuk kanak-kanak dan juga pondok rehat untuk pengunjung.
  2. Singgah ke Pedas Hotspring kerana ianya merupakan taman tema air panas yang pertama di dalam Negeri Sembilan dan merupakan salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara di Negeri Sembilan
  3. Nikmati ikan besar segar di  Restoran Sungai Rembau Ikan Bakar. Restoran ini telah ditubuhkan pada 11 Mei 2017 dan dirasmikan pada 11 Mei 2018. Satu-satunya restoran yang fokus dalam menyediakan ikan bakar di Pekan Rembau. Ruang restoran boleh memuatkan lebih 300 pelanggan.
  4. Alami sendiri cara membuat kaca dan kristal di Rembau Crystal yang mengkomersialkan lagi produk kristal dengan mempelbagaikan pengeluaran berasaskan produk tersebut. Di samping itu, penubuhan syarikat ini juga mengambil kira saranan kerajaan dimana slogan "satu daerah satu industri" 
  5. Beli beberapa cenderahati di Rembau Crystal.
  6. Kembali ke homestay

Idea Rancangan Hari Ketiga

  1. Jom Hiking di Gunung Datuk Rembau.Gunung Datuk adalah 884m (2900 kaki), yang hampir tinggi dengan Gunung Angsi yang jaraknya dari Gunung Datuk adalah 22km. Kemudian ke Air Panas Chengkau untuk merehatkan diri dengan menikmati kolam air panas
  2. Kembali ke homestay dan rehat.